Friday 25 February 2011

Utusan Malaysia: Delima dan markisa cerahkan kulit

ARKIB : 06/05/2009


EKSTRAK buah-buahan biasanya digunakan dalam industri kesihatan dan penjagaan kulit kerana buah-buahan kaya dengan vitamin.

Menyedari kebaikan dan khasiat buah-buahan, Sothys mengambil kebaikan daripada khasiat buah delima dan markisa dalam rawatan penjagaan kulit terbarunya.

Rawatan Instant Lightening menggabungkan kebaikan buah delima, buah markisa dan bahan aktif semula jadi yang bertindak dan menampakkan hasil serta-merta, iaitu wajah yang berseri dan kulit yang cerah.
Buah delima yang merupakan pati dalam rawatan ini digunakan kerana kaya dengan vitamin dan kandungan terapeutik.

Mengikut kepercayaan masyarakat Cina, buah ini telah dibawa ke China oleh Disnasti Han kira-kira 100 tahun Sebelum Masihi. Ia telah digunakan sejak berabad yang lalu sebagai bahan perubatan tradisional.
Buah yang berasal dari Timur Tengah ini dalam bahasa Perancis dipanggil pomegranate yang bermakna epal yang berbiji banyak. Ia mengandungi efek ekstrogenik, mengurangkan gangguan menopos dan mencegah kanser reproduksi.

Terdapat kajian yang menunjukkan bahawa buah delima mengandungi bahan anti oksidan (flavonoids) yang merangsang pengeluaran elastin dan kolagen sihat.

Anti oksidan diperlukan bagi meneutralkan dan melindungi sel kulit daripada kerosakan selular yang disebabkan oleh radikal bebas.

Radikal bebas memusnahkan komponen selular penting yang menyebabkan sel kulit dihasilkan semula dan menyebabkan kulit nampak berusia dan kusam.

Buah delima mengandungi kandungan aktif yang merupakan agen pencerah kulit yang berkesan. Ia dapat mengenali bahagian yang berpigmentasi dan menghentikan komunikasi di antara sel bagi menghasilkan melanin.

Berbeza dengan agen pencerah yang lain seperti asid askorbik, buah delima mengurangkan jumlah DOPA-positif melanocytes di dalam epidermis kulit yang menghadapi radang ultraungu (UV).

Buah delima juga mempunyai keupayaan bagi memperbaiki tahap kekeringan dan menjadikannya sebagai bahan aktif yang ideal bagi rawatan muka sama ada untuk tujuan mencerah, menyeri, melembap dan anti penuaan.

Sementara itu, buah markisa mengandungi nutrien seperti vitamin A dan C. Vitamin A merupakan sumber penting anti oksidan yang bertindak menghapuskan radikal bebas. Buah ini juga dapat memperbaiki tisu dan menghalang pelbagai masalah kulit. Kandungan AHA buah markisa bagus sebagai agen pengelupasan yang menjadikan kulit lebih bersih dan cerah.

Pengurus Pemasaran Sothys, Joanne Teo berkata, pada masa ini pengguna mahukan rawatan mencerah yang memberikan kesan serta-merta namun selamat, berbaloi dengan harga yang dibayar, tidak mendatangkan kemudaratan dan boleh dilakukan sekerap mungkin bergantung kepada keperluan kulit. - MERAN

(sumber: Utusan Malaysia -Kesihatan)

No comments:

Post a Comment